Saturday, February 14, 2009

Hari Kekasih Tradisi Penganut Kristian


SETIAP Februari, merentasi benua, pasangan kekasih, suami-isteri dan mereka yang berjiwa romantis akan saling bertukar hadiah, kad ucapan, bunga-bungaan atau makan malam. Tidak kurang berhibur dan menari semalaman di disko dan kelab malam sempena merayakan suatu hari yang dikenali sebagai ‘Saint Valentine’s Day’ atau Hari Kekasih.Siapakah dia St Valentine dan mengapakah beliau dikaitkan dengan perayaan Hari Kekasih di seluruh dunia ini?


Ada pelbagai versi asal asul Hari Kekasih . Pihak gereja Katholik mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga paderi bernama Valentine @ Valentinus yang dikaitkan dengan mitos ini. Ketiga-tiga paderi ini menerima pengakhiran hidup yang sama iaitu mati dibunuh.Versi pertama menceritakan mengenai St Valentine yang dikatakan sebagai seorang paderi yang berkhidmat dengan kerajaan Rom pada kurun ke-3 Masihi. Maharaja Claudius III mengeluarkan arahan melarang pemuda berkahwin dengan alasan pemuda bujang dapat memberi komitmen, taat setia dan khidmat yang lebih baik sebagai tentera Rom. St Valentine menganggap arahan Maharaja tidak adil. Lalu, secara rahsia terus mengahwinkan pasangan muda-mudi yang bercinta. Apabila kegiatan paderi ini terbongkar, Maharaja Claudius III memerintahkan beliau dihukum bunuh.Versi kedua pula menyebut bahawa St Valentine dibunuh atas cubaan membebaskan tahanan beragama Kristian daripada kekejaman dan keganasan penjara kerajaan Rom. Sewaktu di penjara, dia bersahabat rapat dengan seorang gadis anak kepada pegawai penjara itu. Sebelum dibunuh, St Valentine menulis surat kepada kekasihnya itu dan menandatanganinya dengan ungkapan From Your Valentine.Mengapakah 14 Februari dipilih sebagai merayakan perayaan hari memperingati kekasih ini?Tanggal 14 Februari 269 Masihi adalah tarikh St Valentine dijatuhi hukuman mati. Lalu, untuk mengingati dan menghormati dirinya yang dianggap sebagai wira cinta, tokoh yang dikaitkan dengan sifat kasih sayang serta sanggup berkorban demi persahabatan, Pope Gelasius, pada 496 Masihi mengisytiharkan 14 Februari sebagai ‘St Valentine’s Day’.Sejarah St Valentine telah lama berlalu walaupun masih terus diselubungi misteri. Namun, sesuatu yang pasti, sambutan Hari Kekasih ini berkait rapat dengan tradisi penganut agama Kristian dan kepercayaan masyarakat Rom kuno. Sambutan hari memperingati kekasih tidak ada kena mengena dengan adat resam dan budaya Melayu atau tata susila orang Timur. Jauh sekali bersumber daripada ajaran agama Islam yang suci.


Malangnya, orang Islam pada hari ini, terutama remaja, hatta pasangan suami isteri, begitu ghairah dan tanpa usul periksa membudayakan sambutan Hari Kekasih dalam kehidupan mereka. Keseronokan ini disemarakkan lagi oleh pelbagai pihak yang mengambil kesempatan meraih keuntungan.Renungi firman Allah bermaksud: “Orang Yahudi dan Nasara (Kristian) tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keadaan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)Daripada Anas, Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: “Tiga sifat yang sesiapa memilikinya akan merasakan kelazatan iman. “Pertama, jika dia mencintai Allah dan Rasulullah lebih daripada lain-lainnya. Kedua, jika dia mencintai sesama manusia semata-mata kerana Allah. Ketiga, enggan kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah daripadanya, sebagaimana enggan dimasukkan ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Abu Hurairah berkata, bersabda Rasulullah bermaksud : “Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, kamu tidak dapat masuk syurga selagi tidak beriman, dan tidak beriman selagi tidak berkasih sayang sesama manusia. Sukakah saya tunjukkan perbuatan yang kalau kamu kerjakan dapat menimbulkan kasih sayang? Sebarkanlah salam antara kamu.” (Hadis riwayat Muslim)Umat Islam sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail dalam sambutan Aidiladha yang baru saja berlalu. Kisah kecekalan hati seorang ayah dan kesabaran serta keredaan seorang anak dalam menunaikan perintah Allah itu dirakamkan dalam firman-Nya bermaksud : “Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama (Nabi) Ibrahim, Ibrahim berkata : “Hai anakku, Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka, fikirkanlah apa pendapatmu.” Dia (Nabi Ismail) menjawab: Hai ayahku! Kerjakanlah apa yang perintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” (Surah as-Saffat, ayat 102-103)Ayat seterusnya merakamkan ketabahan dan kecekalan hati kedua-duanya dalam menjunjung perintah Allah walaupun ternyata begitu berat dan hampir tidak mampu dilakukan, melainkan dengan keimanan kukuh dan kecintaan yang mendalam terhadap Rabb-nya.Hayati lagi kisah mereka menerusi firman Allah bermaksud : “Tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran kedua-dua kamu telah membenarkan mimpi itu), sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.” (Surah as-Saffat, ayat 103-107)Peristiwa besar itu diangkat martabatnya oleh Allah, lalu mewajibkan mereka yang mampu untuk melakukan ibadah korban setiap tahun pada Aidiladha, ketika berjuta-juta umat Islam seluruh dunia menunaikan ibadah haji.


Itulah lambang keimanan dan kasih sayang sejati iaitu melakukan sesuatu hanya kerana mengharapkan ganjaran dan keredaan Allah semata-mata.Dalam suasana umat Islam masih berduka cita lantaran kesengsaraan dan musibah yang melanda, terutamanya di bumi Aceh, Palestin, Iraq dan seumpamanya. Marilah, kita menghulurkan bantuan demi kasih sayang sesama insan. Pastinya bantuan kita itu tidak sia-sia kerana pahala sedekahnya akan dinikmati sepanjang hayat selagi insan yang menerima sumbangan itu memanfaatkannya.